Ajaibnya Doa Yang Terkandung Dalam Kata-Kata



ads2

Apa yang kita ucapkan, apa yang kita fikirkan, apa yang kita rasakan, itulah yang akan kita dapat, walaupun tanpa kita niatkan. Pernah sekali saya beritahu kepada kakak dalam keadaan bergurau,
“Along, carikan seorang engineer untuk saya. Mahu dijadikan suami”
Tak lama, hanya beberapa bulan selepas gurauan saya, ada seorang lelaki yang mahu berkenalan dan dia adalah seorang engineer.
Walaupun apa yang kita ucapkan adalah sekadar gurauan, tetapi kita sudah terlupa, ada malaikat yang mengaminkan setiap perkataan yang sudah keluar dari mulut kita.
‘Dan begitulah untuk kamu’.
Senang cerita, menjaga lisan bererti menjaga kehidupan. Ucapkan yang baik-baik, maka kita akan mendapatkan yang baik-baik. Seorang ustaz saya dari Palestin pernah bercerita tentang seorang perempuan yang sudah berkahwin selama 5 tahun, tetapi tidak direzekikan cahaya mata dan beliau meminta didoakan.
Ustaz saya mengangguk dalam senyum, “Saya akan mendoakan kamu”.
Kemudian ustaz bertanya kepada perempuan tersebut, “Apa perasaan kamu ketika melihat seorang perempuan yang mengandung?”
Lama dia berdiam diri, dan jawabnya perlahan, “Saya cemburu, kerana tidak mengandung sepertinya.”
Ustaz diam dan menjawab dengan tenang, “Tidak boleh begitu. Lain kali, ketika kamu bertemu dengan perempuan yang mengandung, doakan untuknya. Doakan agar dia dikurniakan anak lelaki yang comel, anak perempuan yang cantik, doakan, doakan untuknya.” Perempuan itu diam. Ustaz saya menyambung lagi,
“If you want something, make dua to the others. Kerana apa yang kamu doakan untuknya, malaikat akan mengaminkan untuk kamu juga”
Indah sungguh agama Islam yang Tuhan berikan untuk kita. Di mana pun kita hidup, Islam tidak mengajar kita untuk menjadi orang yang mementingkan diri sendiri. Islam adalah agama yang mengajar kita untuk berkasih sayang dan selalu memikirkan kebaikan untuk orang lain, bukan untuk diri kita sahaja.
Ketika membaca Surah Al Fatihah di dalam solat, kita menyebut,
“Ya Allah, tunjukkanlah kami jalan yang lurus.”
Kita tidak menyebut, “Ya Allah, tunjukkanlah aku jalan yang lurus.”
Inilah salah satu tanda, yang kita juga meminta ‘jalan yang lurus’ untuk ibu bapa kita, guru, adik beradik, juga untuk orang-orang yang kita sayang, bukan untuk kita seorang. Inilah Islam!
Tentang doa, tidak pernah ada doa yang tidak dimakbulkan. Ada doa yang Allah makbulkan pada saat yang kita mahukan. Ada doa yang Allah simpankan kita untuk di akhirat. Ada doa yang digantikan dengan perkara yang lebih baik.
Itu semua urusan Allah yang Maha Mengetahui segala rahsia di langit dan di bumi, dan Dia juga Mengetahui apa yang nyata atau yang disembunyikan. Itu urusan Allah, tak usah bersusah payah untuk menguruskan kerja Allah.
Jangan pernah berputus asa untuk berdoa kerana Allah tidak pernah lupa untuk memakbulkan doa-doa kita. Masalah kita sekarang adalah bukan doa yang tidak dimakbulkan, tetapi doa yang tidak ada. Kita jarang-jarang berdoa. Mahukan duit berjuta, tetapi selepas solat terus kita berlari ke tempat kerja.
Kita terlupa bahawa yang memberi rezeki itu Allah, bukan kerja tersebut.
Senjata kita sekarang adalah DOA. Pernah atau tidak kita berurusan dengan orang-orang atasan dalam negara? Sebelum sampai kepada orang yang mahu kita temui, kita akan melalui ramai orang seperti setiausaha atau pembantu peribadinya. Jika ada rezeki, boleh bertemu. Jika tidak, baliklah kita. Ini adat dalam dunia.
Sedar atau tidak, dengan Allah yang memiliki segalanya itu, kita tidak perlukan perantaraan sesiapa untuk berhubung dengan-Nya. Tak perlu berurusan dengan malaikat terlebih dahulu sebelum menemui Allah. Tak perlu bantuan orang-orang untuk memberitahu Allah apa yang kita mahu dan idamkan.
Kita cuma perlu ikhlaskan diri, duduk merendah diri, dan mengadulah apa sahaja kepada Allah. Beritahulah segala masalah kita yang berlaku dalam dunia kepada-Nya, Dia mendengar segala apa yang kita luahkan tanpa bosan.
Dan yang penting, dia mempunyai kuasa untuk melapangkan dada kita dari segala kekusutan dunia. Dia bersedia memberikan apa sahaja yang kita mahu. Beruntung kan mengadu pada Allah? Yes, sangat bertuah.
Jadi sekarang, apa masalah kita untuk mengeluh merungut di sana sini? Kita ada Allah. Kita ada doa. Tak usah menangis menjaja masalah kita ke sana dan kemari, kerana penyelesaian untuk masalah kita adalah ‘di atas’ sana.
Masalah datang untuk mendekatkan kita kepada Allah. Allah rindukan kita. Pada waktu kita bersenang lenang dengan rezeki yang Allah berikan, kita kadang terlupa untuk bersyukur dan duduk bersimpuh berterima kasih.
Kerana itu, setiap kali masalah datang, ingatlah bahawa Allah sedang merindukan kita. Kasih-Nya kepada kita tak pernah berpenghujung.
Jangan lupa satu perkara, Allah sayangkan kita!
KONGSIKAN TAZKIRAH INI


ads1




loading...

0 Response to "Ajaibnya Doa Yang Terkandung Dalam Kata-Kata"

Post a Comment